Sekarang ini bukan saja persekitaran Bukit Bintang menjadi tumpuan menghisap Shisha. Kedai-kedai makan biasa pun menjadi pusat penyebaran trend menghisap shisha dan rokok elektronik (e-rokok) secara berleluasa. Hisap, hembus sambil bersantai mungkin hari indah buat anda.
Tetapi apa yang anda tidak tahu ialah alat-alat pelbagai perisa ini sebenarnya membawa kemudaratan yang lebih besar dan bahaya. Malah WHO pernah mengesahkan ia 400 kali lebih buruk daripada rokok.
PENYAKIT SHISHA
Sama ada sedar atau tidak, menghisap shisha dianggap satu trend yang semakin menular di kota metropolitan. Kami sendiri menyaksikan drama kehidupan muda mudi baik lelaki atau wanita yang memilih shisha sebagai pelepas tekanan sambil bersantai.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan sedang mengkaji bentuk perundangan untuk menguatkuasakan pengharaman shisha di Malaysia sebagai langkah mengatasi masalah kesihatan pengguna terutama golongan belia.
Secara ringkas, shisha adalah panggilan di dalam bahasa Arab yang berupa sejenis paip. Cara menghisap adalah mudah. Letak perisa di dalamnya kemudian letak batu arang panas di atas dan sedut asap menerusi paip. Ada yang beranggapan shisha dan rokok adalah dua alat yang beza. Hakikatnya ia sama sama sahaja.
Tembakau yang digunakan pada rokok adalah diasapkan manakala untuk shisha, ia diperam terlebih dulu. Walaupun kadar nikotin shisha kurang sedikit berbanding rokok tetapi kandungan tar di dalamnya jauh lebih tinggi.
Air dalam shisha tidak dapat menapis banyak jenis toksin dalam asap shisha. Shisha juga mengandungi nikotin, karbon monoksida dan lain-lain bahan seperti rokok biasa. Bahkan arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk.
Itu belum lagi bagi anda yang berkongsi paip shisha. Penyakit kronik boleh berlaku pada anda seperti kanser mulut, kanser paru-paru, kecacatan janin dan batuk kering atau tibi.
E-ROKOK BERPERISA
Begitu juga rokok elektronik. Asalnya, ramai menganggap e-rokok merupakan alternatif terbaik untuk menggantikan rokok sedia ada kerana dikatakan mengandungi nikotin dan propylene glycol sahaja.
Ia dikempenkan sebagai alat yang tidak mendatangkan mudarat, walhal e-rokok sebenarnya menggunakan sejenis cecair, seterusnya menghasilkan wap air nikotin yang membuatkan rasa ketagih.
Di sebalik kecanggihan rokok moden ini juga, ia dikatakan lebih merbahaya daripada rokok biasa jika kita mengkaji bahan-bahan yang digunakan dan yang menghasilkan proses pengewapan ini. Tingginya kadar kabon monoksida pada rokok elektrik dan shisha, berpotensi menyebabkan kerosakan otak tanpa disedari.
E-rokok yang kononnya bertujuan membuang tabiat merokok, secara perlahan-lahan mendedahkan penggunanya kepada pelbagai jenis penyakit kronik.
Ada kes yang menunjukkan bahawa e-rokok yang ‘dikatakan selamat’ itu juga mampu merosakkan paru-paru seperti rokok biasa. Nikotin akan meningkatkan kadar denyutan nadi dan pembebasan hormone adrenalin serta melambatkan sistem saraf.
TAHUKAH ANDA?
- 45 minit hingga satu jam merupakan tempoh purata seseorang menghabiskan shisha.
- Tempoh itu bersamaan menghisap 50-70 batang rokok.
- Penghisap shisha menyedut 50-200 sedutan antara 20-80 minit bersamaan 0.15 hingga 1 liter asap disedut.
- Penghisap shisa berisiko mengalami peningkatan kadar karbon monoksida dalam badan 4-5 kali ganda.
- 17 peratus kes batuk kering di dunia dikaitkan dengan penggunaan shisha.
Moralnya, shisha, rokok elektrik atau rokok merupakan tabiat dan bahan yang memudaratkan. Meskipun dipromosikan sebagai alternatif bagi mengurangkan tabiat merokok, namun sebenarnya banyak risiko dan keburukan ditemui pada alat-alat ini.
Jika tiada jalan keluar untuk dunia ‘sedut dan hembus asap beracun ini’, bukankah lebih baik kita tanamkan gaya hidup sihat?
Anda akan mengangguk dan bersetuju dengan kata-kata ini, melainkan anda sedang memasang hasrat untuk mendapatkan sakit jantung, kerosakan otak atau mendapat tibi! Mungkin sudah masanya kita amalkan cara hidup sihat.
The post Tuberculosis (Tibi) Menanti Penghisap Shisha appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.
No comments:
Write comments