MUAR 30 April – Anggota polis yang ditemukan maut di dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini hari ini dipercayai menemui ajal ketika cuba menyelamatkan diri daripada sekumpulan suspek yang cuba memukulnya.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa, Koperal Roydin Jamaludin, 32, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis daerah di sini diekori kumpulan suspek terbabit dengan menyekat kereta dinaikinya di lokasi tersebut dan turun untuk memukulnya.
Bagaimanapun, mangsa yang mahu menyelamatkan diri daripada dipukul cuba melompat parit terbabit, namun tidak berjaya dan menyebabkan mangsa terjatuh dan kepalanya dipercayai terhantuk.
Mayat mangsa yang berasal dari Kudat, Sabah itu kemudian ditemukan orang awam dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian kira-kira pukul 9 pagi di dalam parit sedalam kira-kira satu meter dan lebar hampir dua meter itu.
Terdapat beberapa kesan luka di tubuh mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, lapan individu termasuk enam lelaki dan dua perempuan dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 32 tahun ditahan sepasukan polis di sekitar Batu Pahat, dekat sini pada pukul 12.45 tengah hari ini.
“Saya tidak boleh mengulas lanjut tentang kejadian ini buat masa ini kerana kita sedang siasat secara terperinci untuk mengetahui motif sebenar dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, adik mangsa, Alidin Jamaludin, 30, yang ditemui di perkarangan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini berkata, arwah Roydin meninggalkan seorang balu, Viani Lukin, 30-an dan dua cahaya mata lelaki berusia lapan dan lima tahun.
Ujar Alidin, arwah abangnya yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik dan menyertai polis pada 2003 tidak pernah mengadu sebarang masalah termasuk berkaitan kerja.
“Sebelum saya kahwin, saya tinggal serumah dengan abang, jadi kami berdua agak rapat. Abang dikenali sebagai seorang yang gigih bekerja kerana dia hanya pulang beberapa jam ke rumah untuk berehat,” katanya.
Alidin berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah abangnya yang akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Telaga Pitas, Kudat adalah dua minggu lalu ketika Roydin dirawat di sebuah hospital swasta, di sini kerana sakit kaki.
Katanya, dia tidak pasti perkara sebenar yang menimpa abangnya dan menyerahkan kepada polis melakukan siasatan bagi mengetahui punca kejadian.
“Saya hanya tahu daripada kakak ipar yang memaklumkan abang sudah tiada. Saya agak terkejut dan seakan-akan tidak percaya sebelum terus ke lokasi kejadian untuk melihatnya dan saya pasti mayat itu adalah abang kandung saya,” katanya. - Utusan Malaysia
No comments:
Write comments