Lek Lu

Tuesday, 3 May 2016

"ABANG, BOLEH CHECK IN KAN BEG SAYA ?" - PERKONGSIAN KEPADA YANG SELALU TRAVEL


Kepada yang selalu travel, sila baca perkongsian ini. Kejadian ini berlaku pada rakan saya dengan isterinya di Lapangan Terbang Labuan semalam (25 April 2016).

Setelah sampai di Lapangan Terbang Labuan, kami berdua berjalan mancari tempat untuk membuka bagasi sebab nak repack semula barang-barang. Maklumlah banyak coklat dan empat pasang kain lagi.

Biasanya kerja-kerja pakcing saya buat sendiri, tak bagi suami yang buatkan. Biasalah, bekas pramugari, suka nak packing bagasi.

Sambil saya pakcing, datang seorang lelaki yang tidak dikenali yang tiba-tiba bersembang dengan suami. Sembang biasa-biasa, sembang tentang coklat kitalah, nak pergi manalah dan bla.. bla.. bla..

"Ramahnya lelaki itu," dalam hati saya bermonolog.

Setelah habis packing, saya beritahu suami yang saya telah siap dan suami pun ajaklah pergi cari surau untuk solat. Baru beredar beberapa belas langkah sahaja, lelaki yang tadi pun memanggil kami dari belakang.

"Abang, mau minta tolong boleh ah? Saya banyak barang mau angkut balik dan sudah melebihi berat luggage. Boleh tolong saya dan bagi saya check ini bawah nama abang. Nanti bila sampai Kuala Lumpur, saya bayar duit sama abang," katanya dengan nada yang merayu-rayu.

"Awak flight pukul berapa? MAS ke?" soal saya.

"Jam 3 petang. Sama," katanya.

Belum sempat saya nak jawab "Boleh," (iyalah, lembut hati nak tolong orang, kasihan kan) lantas suami dengan muka yang serious, nada yang tegas tetapi sopan berkata, "Tak apalah,".

Lepas itu suami terus memegang tangan saya dan beredar.

"Abang, kenapa tolak? Kenapa tak tolong dia?" tanya saya dalam kehairanan.

"Kita tak kenal dia. Tiba-tiba nak tolong check in barang dia. Memang dia kata dalam itu adalah ikan sahaja. Manalah kita tahu kalau dalam perut ikan itu disumbat dengan dadah ke apa. Bukan nak bersangka buruk tetapi kita tak kenal dia. Kalau jadi apa-apa, kita yang kena," tegas suami.

"Oh! Betul-betul, nasib baik ada abang. Kalau tak ada dan saya seorang diri, mesti dah tersetuju untuk menolongnya,' syukur rasa simpati saya cepat ditegah oleh suami.

"Kalau pakcik sendiri tak apa, ini yang tiba-tiba minta tolong, sembang pun tak sampai 5 minit, baik jangan. Kena ingat tu," kata pesan suami.

Saya? Insaf seketika. Setelah masuk dalam pesawat MAS, suami tanya ada nampak tak lelaki yang kononnya naik kapal terbang yang sama. Mata saya liar mencari kelibatnya, namun tiada kelihatan.

"Memang tak ada, betul tak ada!"

Suami pun tersenyum paksa. Tandanya apa yang dia jangkakan itu mungkin tepat. Kalau tak, percuma kami menjadi 'keldai dadah' (tak tuduh, just in case sahaja,).

Moralnya, berhati-hati jika ada orang meminta tolong jadi 'transporter'. Seperti dalam filem, boleh selalu terlepas dan menjadi kaya. Realitinya? Kalau terjadi pada kita di sini, tali gantunglah yang akan 'transport-kan' kita ke alam barzakh.

Harap semua orang berhati-hati. Jangan percuma jadi keldai dadah hanya kerana duit. Duit itu bukan penjamin kita selepas mati. - Ariati Mohd

No comments:
Write comments