Saya bukan nak buka pekung di dada tetapi saya sudah penat dan sangat tertekan. Saya nekad mahu bercerai kerana anak-anak saya sudah besar. Penat saya rasa sampai hampir masuk ke Hospital Bahagia.
Anak-anak saya ramai, tetapi suami tidak pernah mahu menolong saya membuat kerja rumah. Alasannya, saya tidak bekerja dan banyak masa terluang. Saya sudah penat dilabel pemalas, pengotor sebab rumah bersepah. Dilabel duduk di rumah tak buat apa-apa, makan tidur saja kerja saya katanya.
Dari usia anak-anak masih kecil, semuanya saya buat sendiri. Minta suami belikan barang dapur, dia suruh saya beli sendiri.
"Pergilah beli sendiri. Awak kan tak kerja, tak buat apa-apa. Duduk rumah saja," katanya.
Bila mak mertua masuk hospital saya disuruh menjaganya walaupun saya ada anak kecil. Adik-adik ipar yang lain memberikan alasan mereka semua bekerja, sedangkan saya hanya duduk di rumah sahaja. Saya ikhlas menolong tetapi bila semua orang menuduh saya goyang kaki, saya terasa.
1,001 KERJA YANG PERLU DIBUAT
Bila anak-anak saya dah ramai, gaji suami tak mampu lagi nak menanggung kami, jadi saya buat kuih. Pagi-pagi buat kuih dan hantar ke kedai. Saya buat sarapan, basuh baju, memasak , mengemas, hantar anak pergi tadika, pergi sekolah bertrip-trip. Hantar anak pergi tuisyen lagi, semuanya saya buat sebab setiap kali saya suruh suami yang melakukan kerja-kerja itu, dia akan beri alasan yang sama.
"Awaklah yang hantar. Awak kan tak kerja. Duduk di rumah bukannya buat apa-apa pun," katanya.
Mentaliti suami saya dan keluarga mertua saya sama saja. Selagi saya tidak menyarung pakaian pejabat dan keluar bekerja, saya akan dilabel tak buat apa-apa walaupun hakikatnya semua perkara saya buat.
Kalau nak ambil adik ipar di lapangan terbang pun saya. Hantar anak saudara suami ke asrama, pun saya. Kalau apa-apa nak minta tolong cari, cari saya. Kadang-kadang nak beli barang basah untuk mak mertua pun saya juga, atas alasan saya surirumah tak buat apa-apa. Jadi, banyak masa terluang. Padahal Tuhan saja yang tahu betapa terkejar-kejarnya saya.
"TAKPELAH, ORANG RUMAH KAU TAK BEKERJA"
Belum cerita tentang kenduri lagi. Saya akan dapat bahagian yang paling berat. Beli itu ini untuk kenduri sebelah suami. Kiranya saya akan dapat bahagian paling berat dan banyak. Apa-apa, mereka akan hamburkan pada suami dengan alasan cliche.
"Takpelah, orang rumah kau tak kerja. Duduk rumah pun tak buat apa-apa. Bolehlah tolong beli itu ini. Nak suruh orang lain, semua bekerja dan tak ada masa," kata mereka.
Suami pun akan menyerahkan tugas-tugas itu kepada saya.
"Awak tolong ye, sebab abang kerja. Awak di rumah tak buat apa-apa, bolehlah awak tolong," katanya.
Akhir-akhir ini saya dah mula bergaduh dengan suami sebab saya cakap saya dah letih dan tak sanggup hidup tanpa penghargaan.
"Awak ini tak bersyukur! Sepatutnya awak bersyukur boleh jaga anak, duduk rumah, goyang kaki. Boleh bangun dan tidur bila-bila masa. Sedangkan ibu-ibu lain keluar bekerja mencari rezeki, penat bekerja balik rumah pun dah lewat. Lagi banyak bekorban untuk suami." marahnya pada saya.
Usia saya dah nak masuk 40 tahun pun, suami tak habis-habis memandang rendah pada saya. Berbelas tahun saya buat semua ini, sampai ke hari ini orang melabel saya tak buat apa-apa. Saya sudah penat dan tidak dapat bertahan lagi. Sudahlah sampai sekarang kalau saya pergi ke rumah mertua, saya yang kena buat air, masak semua. Padahal adik-adik ipar yang lain berehat dan beri alasan semua penat bekerja. Saya pula tak kerja, jadi mereka menganggap saya lapang dan boleh sediakan semuanya. Padahal saya sangat-sangat penat.
TAWAR HATI, NEKAD MAHU BERCERAI
Dari muda sampai tua, saya buat kuih sebagai pendapatan sampingan masih dikira bukan mencari rezeki untuk keluarga. Saya uruskan anak-anak dari pagi sampai malam, 24 jam, makan pakai minum semua. Masih juga dikatakan saya goyang kaki. Saya buat semua kerja, malah tolong keluarga mertua pun masih dikata tak buat apa-apa.
Saya sudah penat, saya dah tak sanggup. Sekarang saya dah tawar hati dengan perkahwinan saya. Saya sudah letih dipandang rendah oleh suami. Suami gemar memikirkan saya bersenang lenang di rumah dan menghambarkan kata-kata yang tidak sepatutnya pada saya. Kesabaran saya cuba mencapai had limitnya. - Isteri Malang
No comments:
Write comments