Penyakit lemah jantung (congestive heart failure) bukan penyakit yang spesifik. Ia lebih merupakan kesan atau akibat dari beberapa faktor atau apa-apa penyakit lain yang boleh menyebabkan jantung anda menjadi lemah.
Dianggarkan terdapat seramai 3 hingga 20 pesakit lemah jantung bagi setiap 1000 orang.
Bagi mereka berusia > 65 tahun ke atas, jumlah ini meningkat sebanyak 100 bagi setiap 1000 orang. pesakit lemah jantung juga menyumbang kepada 10% dari jumlah kemasukan pesakit di hospital Malaysia. Dan dalam tempoh setahun, hampir 45% pesakit jantung terpaksa dimasukkan ke wad untuk rawatan selanjutnya.
Di antara penyakit yang secara lazimnya boleh mengakibatkan jantung menjadi lemah adalah :-
- Serangan jantung
- Tekanan darah tinggi
- Injap jantung rosak
- Jangkitan virus (viral cardiomyopathy)
- Penyakit kongenital / sejak dilahirkan (contoh: Jantung berlubang)
- Penyakit otot jantung (cardiomyopathies)
- Penyakit jantung akibat alkohol (alcoholic cardiomyopathy)
Mereka yang mempunyai jantung yang lemah mungkin tidak akan mempunyai sebarang gejala atau simptom pada peringkat awal.
Namun simptom berikut boleh timbul secara perlahan atau mendadak dan secara lazimnya mereka yang mempunyai lemah jantung akan mengalami beberapa tanda-tanda seperti berikut:
- Cepat kepenatan (boleh disalah ertikan sebagai lelah)
- Semput nafas ketika menaiki tangga atau berjalan jauh
- Bengkak kedua belah kaki (seperti ada mendapan air di bawah kulit)
- Tidur memerlukan bantal yang tinggi (lebih daripada dua bantal) atau dalam posisi duduk
- Terjaga ketika waktu tidur (akibat sukar bernafas)
Jika anda mengalami tanda-tanda seperti di atas, anda perlu berjumpa dengan doktor anda untuk menjalani beberapa pemeriksaan atau ujian seperti :-
- ECG
- X-ray dada
- Ujian darah
- Echocardiogram
Kebanyakan ujian tersebut adalah untuk mencari punca lemah jantung. Rawatan yang diberikan adalah berdasarkan kepada “punca utama” yang dikenalpasti (rujuk senarai di atas).
Contohnya Abu dan Muthu mempunyai lemah jantung tetapi disebabkan punca yang berlainan. Abu pernah mengalami serangan jantung, tetapi Muthu mempunyai injap jantung rosak maka mereka berdua mungkin mendapat rawatan yang agak berbeza.
Dengan bantuan anda, doktor yang merawat anda perlu memastikan punca sebenar lemah jantung anda untuk memastikan rawatan yang sewajarnya diberikan.
Antara nasihat umum yang penting:
- Menimbang berat badan dan mencatitkan di dalam buku nota (dibawa bersama ketika temu janji klinik) – sekiranya berat anda naik secara mendadak sebanyak 1 – 2kg ini mungkin bermakna anda telah minum air yang berlebihan. Mereka yang menimbang berat akan menjadi lebih peka dalam menguruskan kesihatan mereka.
- Tidak minum terlalu banyak air. Tidak melebihi 800ml atau 1000ml air dalam sehari (24 jam), dan ini termasuk air dari sup, kopi dan teh (Jumlah air maksimum akan bergantung kepada doktor yang memeriksa anda). Kerana air yang berlebihan akan membebankan jantung yang lemah untuk mengepam darah ke seluruh badan. Ini akan menyebabkan pengumpulan air di dalam paru-paru dan di kaki.
- Kurangkan pengambilan garam dalam makanan (hanya hujung sesudu teh, asingkan lauk masin atau pastikan makanan pesakit mengandungi kurang garam berbanding makanan ahli keluarga lain): Garam akan menyerap lebihan air yang sepatutnya dikumuhkan oleh ginjal menjadi air kencing, ini menyebabkan jumlah air di dalam badan juga bertambah.
- Aktiviti senaman / riadah yang ringkas seperti berjalan
- Mengurangkan atau berhenti meminum alkohol dan merokok
Secara amnya (tetapi tidak semestinya) pesakit lemah jantung mungkin memerlukan lima jenis ubat berikut:
- Beta blocker
- ACE inhibitor
- Spironolactone
- Digoxin
- Lasix (frusemide)
Anda boleh merujuk kepada doktor anda sama ada ubat-ubatan di atas adalah sesuai untuk anda. Secara umumnya lemah jantung mempunyai beberapa peringkat; dari ringan hinggalah tahap yang serius.
Maka setiap pesakit mungkin akan mengalami kemerosotan fungsi jantung pada kadar yang berbeza dari bulan ke tahun.
Jenis rawatan dan dos ubat-ubatan yang diberikan juga adalah berbeza mengikut kadar keseriusan.
Dapatkan nasihat doktor anda sama ada ubat frusemide boleh dimakan apabila perlu sahaja atau dimakan setiap hari. Ini adalah kerana ubat tersebut adalah bersifat simptomatik (mengurangkan simptom) iaitu bermaksud anda mungkin memerlukannya pada ketika anda rasa kurang selesa (apabila semput nafas, kurang lawas kencing, atau berat badan bertambah akibat terlebih air di dalam badan). Dan ada kemungkinan anda tidak memerlukannya ketika hari panas, anda kurang minum air dan berasa agak ‘kering’.
Apabila tahap lemah jantung menjadi bertambah serius maka pesakit mungkin akan dimasukkan ke wad untuk distabilkan. Secara umumnya pada peringkat serius di antara rawatan tambahan (selain ubatan) yang boleh dilakukan adalah:
- Cardiac re-synchronisation therapy (CRT)
- Left ventricular assisted device (LVAD)
- Parachute device
- Pemindahan jantung (heart transplant)
Walau bagiamanapun rawatan tersebut hanyalah sesuai atau berkesan untuk segelintir pesakit berdasarkan kriteria yang telah ditentukan oleh kajian perubatan.
Tidak dinafikan purata jangka hayat pesakit lemah jantung adalah lebih rendah berbanding dengan mereka yang sihat. Secara amnya bagi pesakit lemah jantung yang berada pada tahap serius, mempunyai jangka hayat mungkin mencapai lingkungan lima tahun. Perangkaan ini adalah hampir sama dengan jangka hayat seperti pesakit kanser.
Perumpamaan ini lebih bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa penyakit lemah jantung juga adalah kategori penyakit yang serius dan perlu diberi perhatian oleh pesakit, ahli keluarga dan masyarakat.
Mereka yang mempunyai lemah jantung harus mendapat sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan. Ahli keluarga harus faham bahawa pesakit memerlukan rehat dan juga mungkin tidak seaktif dahulu.
Perjalanan jauh hendaklah disesuaikan dengan pengambilan ubat seperti frusemide (ubat melawaskan kencing, yang boleh dilewatkan sehingga sampai ke destinasi) supaya tidak menyukarkan pesakit ke tandas ketika perjalanan jauh.
Pesakit lemah jantung juga kerap mendapat kesan kemurungan (depression). Ini adalah kerana mereka merasa bahawa mereka tidak boleh lagi menyertai kegiatan sosial dan berbentuk kemasyarakatan. Ini harus dipandang berat oleh keluarga dan sahabat- handai.
Aktiviti seperti senaman atau riadah ringan seperti berjalan di waktu petang bersama keluarga adalah penting untuk kesihatan badan dan minda.
Reference:
- CPG Management of heart failure, Malaysia. 2007
The post Apakah Itu Penyakit Lemah Jantung? appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.
No comments:
Write comments