SEREMBAN - Kehidupan seorang nenek di Taman Panchor Jaya, di sini, diselubungi misteri apabila berlaku pelbagai kejadian ganjil di rumahnya, termasuk pakaiannya sering dicuri dan dikoyak sebelum dipulangkan semula.
Lebih menghairankan, tiada langsung sebarang kesan pecah masuk pada rumah membuatkan Zainon Baharuddin, 67, buntu memikirkan kejadian itu yang mula mengganggu hidupnya sejak beberapa tahun lalu.
Kira-kira tiga tahun lalu, kejadian ganjil yang berlaku pada Zainon di rumah itu pernah dilaporkan, namun sehingga kini misteri berkenaan masih terus berlaku dan belum terjawab.
Zainon berkata, antara keganjilan berlaku adalah barangan seperti perabot, beg tangan dan kasut pemberian anaknya kelihatan seperti ditoreh menyebabkan dia terpaksa membuang sahaja barangan itu, selain lantai rumah mempunyai kesan dikorek.
Menurutnya, kejadian Sabtu lalu lebih mengejutkannya ketika dia bersendirian di rumah, apabila radio yang dipasang dengan kaset ayat al-Quran di dalam bilik anaknya, secara tiba-tiba meletup.
“Saya memang biasa pasang kaset ayat al-Quran di rumah. Ketika itu saya pasang dua radio, satu di ruang tamu dan satu lagi di dalam bilik anak saya.
“Tapi tiba-tiba radio dalam bilik anak saya meletup dan radio di ruang tamu serta semua lampu yang dipasang terpadam,” katanya.
Menurutnya, dia yang ketika itu berada dalam bilik utama terus melaungkan azan dan selepas lima minit keadaan kembali normal.
"Tidak cukup dengan itu, pakaian yang saya simpan dalam almari sering kali hilang, tapi selepas beberapa hari akan ada semula di tempat asal namun ada kesan koyak.
“Saya pun pelik, tak tahulah kenapa. Kejadian seperti ini berlaku berulang kali dan saya sudah minta bantuan beberapa ustaz untuk datang ke rumah membaca Yasin.
“Biasanya, selepas itu kejadian pelik ini senyap sekejap sebelum berulang semula. Pernah pagi-pagi di hadapan rumah saya disimbah dengan air yang tidak tahu perbuatan siapa,” katanya yang turut membuat laporan polis.
Nenek kepada 18 cucu itu bagaimanapun mengakui sudah lali dengan kejadian berlaku dan tidak menolak berkemungkinan ia perbuatan sihir dilakukan individu tertentu berniat menganggu hidupnya.
“Anak saya bimbang dengan keselamatan saya. Tapi saya berserah kepada ALLAH kerana Dia lebih mengetahui.
“Cuma saya pelik kenapa pakaian saya dikoyak dan apa motifnya?. Lagipun saya tidak bermusuh dengan sesiapa.
"Kalau ada siapa yang dengki dengan saya, bertaubatlah," katanya.
Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2015/03/nenek-diselubungi-misteri-radio.html#ixzz451Ixl2NO
Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook
No comments:
Write comments