Lek Lu

Sunday, 17 April 2016

Ponteng sekolah, 'belajar' di hotel bajet


Kuantan: “Saya terpaksa ponteng sekolah kerana perlu bekerja di hotel bajet untuk membantu ibu.

“Gaji antara RM40 dan RM50 sehari yang saya dapat digunakan untuk bayar sewa bilik yang tertunggak beberapa bulan.

“Saya terpaksa, jika tidak saya dan ibu kena halau oleh tuan rumah,” kata Muhammad Tajuddin Abdullah, 14, dari Kampung Tengah di sini.

Sejak sebulan lalu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih di sini itu terpaksa ponteng sekolah kerana bekerja sebagai pekerja am di sebuah hotel bajet di Jalan Wong Ah Jang dekat sini.

Ia bagi menampung perbelanjaan keluarga selepas ibunya, Salma Hamid, 40, tidak lagi boleh bekerja sejak enam bulan lalu, selepas mengalami komplikasi penyakit kencing manis.

Dia terpaksa melupakan hasrat untuk belajar bersungguh-sungguh seperti rakannya memandangkan keadaan tidak mengizinkannya berbuat demikian.

“Dengan gaji itu, saya gunakan untuk beli barangan dapur dan keperluan kami,” katanya ketika ditemui di bilik sewa yang dihuni bersama ibu di Kampung Tengah di sini, kelmarin.

Remaja itu berkata, sekarang adalah masa untuk menjaga ibunya memandangkan seorang lagi kakaknya sudah berkahwin dan menetap di Kelantan.

“Ibu tidak sihat, doktor kata ibu kena potong ibu jari tangan, jadi saya sebagai anak perlu menjaganya.

“Apakan daya...saya juga ingin ke sekolah seperti rakan lain, tetapi masalah kewangan dan tanggungjawab untuk menjaga ibu menyebabkan saya terpaksa ponteng sekolah,” katanya.

Sementara itu, Salma berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan mendapat gaji sebanyak RM900 sebulan.

“Saya berkerja lebih lima tahun, namun selepas disahkan mengidap kencing manis, saya tidak lagi mampu bekerja dan doktor juga menyarankan supaya ibu jari tangan saya dipotong.

“Sekarang ini anak saya yang banyak membantu keluarga. Kadang-kadang kalau dia tidak bekerja dia akan ke sekolah, tetapi dalam seminggu mungkin dua hari saja dia di sekolah,” katanya.

Katanya, pihak sekolah juga banyak membantu keluarganya dalam pelbagai aspek termasuk memberi bantuan kewangan dan barangan keperluan asas.

“Tetapi sampai bila kami mahu meminta-minta. Saya juga tidak tahu hendak meminta bantuan kepada siapa,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti bantuan kepada keluarga itu.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membantu keluarga itu dengan menyalurkan bantuan kewangan secara bulanan.

“Cuma saya harapkan Muhammad Tajuddin dapat pergi sekolah semula dan kembali belajar seperti rakan sekolah yang lain supaya dapat mengubah nasib keluarganya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 156012318707 milik Salma.

No comments:
Write comments