Lek Lu

Wednesday 31 August 2016

Ramai Wanita Hari Ini Stress Dengan Perangai Suami

Saya amat sedih dan bersimpati bila terbaca ramai wanita hari ini stress dengan perangai suami masing-masing. Sehingga ada yang ditimpa kemurungan yang melampau, terpaksa mendapatkan rawatan pakar psikatari.

Saya kira, lebih 100 orang wanita yang telah menghantar email kepada saya menceritakan yang mereka ditimpa kemurungan yang teruk sehingga masuk wad dengan disebabkan pelbagai penyakit.


Ya Allah, maafkanlah semua kaum lelaki yang ada pada hari ini, yang meninggalkan dakwah sehingga tidak membawa isteri mereka dekat pada Allah.

Punca utamanya ialah, suami tidak memberi perhatian, kasih sayang dan bimbingan dengan ajaran Islam serta Sunnah Nabi SAW. Si suami sudah terlupa akan tujuan Allah hantar ke dunia ini serta erti kehidupan yang sebenar. Sebaliknya suami sibuk dengan perkara yang tidak penting, dan mula lalai dengan dunia.

Isteri buat pahala tanpa henti. Dia bekerja membantu suami, sedangkan tugas mencari nafkah itu adalah tanggungjawab suami. Suami yang kena sediakan makan minum dan bertanggungjawab terhadap semua keperluan isteri dan ahli keluarga.

Allah beri pahala sedekah buat golongan wanita bila mereka cuba membantu suami atau meringankan beban suami kerana Allah.
Isteri mandikan dan urus anak-anak seorang diri
Isteri uruskan pendaftaran sekolah dan mendidik anak-anak
Isteri kemas rumah dan melayan karenah anak-anak
Isteri berpakaian cantik, seksi dan menunggu untuk dibelai dan dilayan suami
Isteri bawa anak ke klinik/hospital
Isteri sakit atau pening kepala, tetap tiada MC, terus jaga dan uruskan anak, rumah tangga.

Isteri uruskan semuanya tanpa cuti. Kalau tanggungjawab isteri diberikan pada robot, boleh meletup dan rosak juga. Inikan pula manusia bernama wanita.

Mereka tak sempat makan, tak sempat tidur lena, tak sempat menguruskan diri dengan sempurna. Mereka banyak mengorbankan masa untuk melayan karenah anak dan suami. Isteri yang baik, dalam hidupnya cuma ada Islam, suami dan anak-anak. Keluarga mereka jauh, dan mereka tiada tempat untuk meluahkannya.

Dia buat semuanya sedangkan dia sudah ada suami. Tetapi suami?
Suami sibuk tengok handphone 24 jam
Suami sibuk keluar malam-malam seperti orang bujang. Sedangkan sudah ada anak-anak kecil. Balik 2 3 pagi setiap hari
Suami sibuk tidur di ruang tamu sedangkan isteri di dalam bilik pening/sakit. Penat menjaga anak yang menangis dan bergaduh
Suami sibuk bersukan siang malam selepas waktu kerja
Suami bila sakit, nak isteri layan dia seperti raja
Suami bila penat, berehat tak ingat dunia. Tidur sepanjang hari tanpa menolong isteri
Suami bila ditegur, mengamuk, marah dan melenting

Bukanlah kena jadi malaikat tetapi jalanilah hidup ini dengan cinta dan perasaan. Melihat dengan cinta, mendengar dengan cinta, berkhidmat dan bersama dengan cinta.

Ubatnya begini:

Solat dua rakaan, minta pertolongan Allah. Semua masalah dalam genggaman Allah. Merayulah kasih sayang dan rahmat dari Allah.

Masalah dalam hubungan rumah tangga sebenarnya timbul kerana sudah hilang rahmat dari Allah. Jagalah solat dan solat tepat pada waktunya. Suami isteri sama-sama tidur awal dan bangun tahajud bersama-sama.

Suami perlu ringankan tulang untuk membantu isteri. Kalau boleh, berebut-rebutlah untuk melakukan tugas seorang isteri di rumah. Makan bersama dengan isteri dan anak-anak sebagai tanda kasih sayang. Rajinkanlah mulut mengucapkan terima kasih dan pujian buat pasangan.

Jika kita boleh memberikan layanan yang baik kepada orang luar, takkan pada isteri sendiri tak boleh? Tidur bersama dan peluklah isteri. Belai dan dengarlah mereka bercerita.

Adakalanya bawalah isteri bercuti, berehat dan berdua-duaan. Dating dan buat habis romantik. Bawa isteri berdakwah dan belajar iman ilmu di jalan Allah. Jika ada ruang dan kesempatan, tiga bulan sekali pohonlah cuti 3 hari untuk bersama isteri tanpa anak-anak. Dalam setahun mesti luangkan cuti 10 hari bersama dengan isteri. Barulah bercinta macam 'giler'.

Bercinta biar sampai ke syurga. Belajarlah dan dekatilah agama Islam dan juga pada Allah. - Ebit Lew

No comments:
Write comments