Lek Lu

Sunday 28 August 2016

Kelakuan jemaah haji indonesia buat pegawai haji geleng kepala

INDONESIA: Ibadah haji merupakan seruan Ilahi bagi umat Islam yang memiliki kemampuan baik dari segi kewangan ataupun jasmani.

Namun, menurut pengalaman Panitia Penyelenggara Ibadah Haji (IPHI) Kota Cirebon, Indonesia, terdapat pelbagai kelakuan para jemaah dari negara itu yang boleh membuat sesiapa sahaja geleng kepala.



Malah sebahagian daripadanya terpaksa melibatkan campur tangan polis.



BAWA BERKOTAK-KOTAK ROKOK, UBAT KUAT UNTUK DIJUAL

Menurut Ketua IPHI kota itu, Slamet, jemaah haji dari Indonesia, khususnya Jawa Barat adalah yang paling menyusahkan.



Mereka seringkali membawa pelbagai barangan yang tidak perlu kerana mahu berjimat.

Ada yang membawa periuk nasi, termos, berkotak-kotak rokok dan juga ‘ubat kuat’ untuk dijual di tanah suci.



“Rokok dibawa berkotak-kotak. Demikian juga ubat kuat. Di tanah suci harganya mahal, jadi mereka boleh menjualnya dengan harga lima kali ganda berbanding harga di Indonesia,” menurut Encik Slamet.



Selain itu, pernah juga terjadi pada tahun 2011, di mana seorang petugas ibadah haji (PPIH) di Arab Saudi menjumpai beras dan periuk nasi di dalam beg seorang jemaah yang berasal dari Solo.



BAWA LEBIH 5 KILOGRAM BERAS, PERIUK NASI

Ketua Sektor PPIH Arab Saudi, Aranto berkata, beg yang dibawa jemaah berkenaan terlalu berat.Rupa-rupanya, bukan sahaja pakaian, malah terdapat juga beras melebihi lima kilogram dan juga makanan kering serta telur.

“Itu yang membuatkan beg beliau lebih berat berbanding beg-beg jemaah lain,” jelas Encik Aranto. Menurut salah seorang jemaah yang menginap di Hotel Holiday Villa, Madinah, jemaah itu membawa peralatan dan makanan tersebut bagi menyiapkan sarapan pagi setiap hari.



“Kalau sarapan, beliau mahu masak mi segera atau nasi,” ujar jemaah tersebut.

Pada tahun 2014, kerajaan Arab Saudi menetapkan undang-undang baru di mana para jemaah haji tidak dibenarkan memasak makanan sendiri.



“Undang-undang dari kerajaan Arab Saudi dikuatkuasakan sebagai mencegah daripada kebakaran dan dimaklumkan kepada para jemaah Indonesia. Sekiranya jemaah haji tetap memasak nasi atau membawa masakan sehingga mengeluarkan aroma, sistem penggera akan berbunyi,” menurut Ketua Daker Makkah Endang Jumali.



Meskipun begitu, masih terdapat jemaah haji dari Indonesia yang tidak bersetuju dengan undang-undang baru tersebut dan menentangnya.



LANGGAR UNDANG-UNDANG BAWA MINUMAN KERAS

Malah, seorang bakal jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci didapati membawa sekitar setengah liter minuman keras hasil penapaian yang dimasukkan ke dalam botol.

Menurut jemaah berkenaan, minuman itu adalah ubat kuat, anti-penat supaya beliau lebih bertenaga untuk menjalankan ibadah haji di tanah suci.

Minuman tersebut dijumpai petugas semasa melakukan pemeriksaan ke atas beg-beg jemaah, pada Jumaat (26 Ogos), lantas merampasnya sebagai bukti.

Menurut seorang petugas bernama Avsec Bandara, jemaah yang membawa minuman keras itu merupakan seorang lelaki yang berasal dari Sulawesi Barat.

Beliau menambah, minuman tersebut dirampas bukan sahaja kerana ia mengandungi alkohol malah ia boleh menyebabkan letupan di dalam pesawat.

Selain minuman keras, petugas turut merampas beberapa barangan lain milik bakal jemaah.

– Merdeka.com/nk

No comments:
Write comments