Alor Setar: Keluarga budak perempuan berusia empat tahun yang menghidap penyakit Diabetes Milletus Type 1 di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, dekat sini, merayu sumbangan orang ramai untuk menampung kos perubatan anak perempuan mereka itu.
Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Muhsin Mansor, 29, berkata Nur Madihah dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan kini kesihatannya semakin kritikal dan memerlukan penjagaan rapi.
Katanya, dia sudah menghabiskan wang simpanan serta sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hampir RM34,000 untuk membeli peralatan rawatan termasuk ‘diabetic infution pump' serta jarum suntikan insulin.
Menurutnya, selain alat berharga RM21,000 itu, setiap bulan dia perlu membelanjakan antara RM1,000 hingga RM1,200 untuk membeli tiub dan jarum suntikan yang perlu diganti untuk mengelak jangkitan kuman.
"Sebelum ini Nur Mahidhah aktif namun doktor mengesahkan dia menghidap diabetis selepas kerap demam dan tidak bermaya selain sering dahaga dan kerap kencing.
“Doktor menasihatkan saya membawa anak menjalani rawatan doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) atau Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap tiga bulan sekali," katanya yang ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Muhammad Muhsin yang bekerja kilang di Butterworth, Pulau Pinang, dan isterinya, Noor Hidayah Mohd Kaharudin, 28, merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban kos perubatan anaknya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Muhammad Muhsin di 019-5732415, akaun Maybank 152077339717 (Muhammad Muhsin).
Sumber: hmetro
No comments:
Write comments