Lek Lu

Wednesday, 13 July 2016

Jangan Makan “Racun” Ketika Aidilfitri

Ya, racun! Tanpa kita sedari, kita seringkali mengambil racun, bahkan dalam kuantiti yang berlebihan dalam makanan, terutama dalam musim perayaan. Malaysia sememangnya kaya dengan budaya dan adat resam kaum dan etniknya yang pelbagai.

Tidak salah jika kita nyatakan bahawa Malaysia merupakan syurga makanan dunia. Ini kerana jenis hidangannya yang tak terhingga, di tambah pula pertembungan budaya yang membawa kepada hasil masakan yang sangat lazat dan sedap dipandang mata.

 

Jadi Apakah Racun Tersebut?

1371631206127

Secara sinis, racun yang dimaksudkan di sini bukanlah dadah, racun perosak mahupun makanan tercemar. Ianya adalah pengambilan gula, garam dan lemak yang berlebihan ketika menjamu selera di hari raya. Justeru benarlah “Sesungguhnya perut itu adalah tempat bermula segala penyakit”

Perlu diingatkan gula bukan sahaja tinggi dalam makanan yang tersedia manis seperti ais krim atau gula ringkas, namun pengambilan makanan yang tinggi dengan karbohidrat juga akan diubah oleh sistem penghadaman kepada gula yang akhirnya menjadi racun tersembunyi.

Ini termasuklah pengambilan kuih dan biskut raya, manisan, keropok-keropok goreng, tempeyek, ketupat, lemang, pulut, roti jala dan rendang ayam mahupun daging.

Rendang dan lemang juga mengandugi santan yang sebenarnya tinggi dengan lemak. Tambahan pula, menjadi kebiasaan bagi masayrakat negara kita menyediakan minuman-minuman berkarbonat ketika musim perayaan, yang sudah ternyata ‘mewah’ dengan gula.

Mana ada rumah yang menyediakan ulaman atau sayuran ketika pagi Raya bukan?

 

Senarai-Juadah-Pilihan-Hari-Raya-Aidilfitri-326x245

Sememangnya gula diperlukan untuk memberi tenaga dan membolehkan organ-organ dan sel-sel badan berfugsi dengan baik.

Namun begitu, pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan gula dalam masa yang singkat dan berulangkali akan menyebabkan tekanan ke atas fungsi organ pankreas yang memainkan peranan dalam mengawal kandungan gula dalam darah.

Sekiranya ini berterusan, organ tersebut akan menjadi kurang efektif dan tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi dalam mengoptimumkan paras gula. Untuk pemahaman lanjut, kita boleh bayangkan organ pankreas tersebut seperti sebuah mesin yang diberikan kapasiti muatan yang berlebihan berulangkali dan berterusan.

Sehebat mana pun mesin tersebut, sekiranya melebihi kapasiti, mesin tersebut pasti akhirnya akan rosak sebelum tempoh yang ditetapkan. Begitulah juga dengan organ pankreas yang mengawal paras gula.

 

lauk raya

Gula yang berlebihan akan beredar di dalam darah dan dalam jangka masa yang lama akan mendap atau melekat pada permukaan protein dan saluran darah.

Selain merosakkan saluran darah dan meningkatkan pembentukan plak yang menyempitkan saluran darah, ianya juga akan menghalang aktiviti protein yang dilekati dan merencat metabolisma dan fungsi organ di dalam badan secara kesuluruhannya.

Justeru itu, benarlah ianya racun yang hebat! Samalah juga dengan lemak dan garam, akan merosakkan salurah darah dan kecederaan pada organ-organ di dalam badan.

Biarpun ada di antara pesakit kencing manis yang menggunakan insulin mampu berkata bahawa mereka boleh menukar paras insulin seiring dengan jumlah pemakanan mereka, namun peningkatan gula yang mendadak dan kemudian merundum secara mendadak juga adalah sangat merbahaya kepada struktur sel dan saluran darah pesakit.

Tambahan pula, biarpun pengambilan insulin sejurus sebelum makan mampu mengawal gula, namun makanan ini juga sebenarnya tinggi dengan kandungan garam dan lemak, yang mana tiada ubat mampu diberi sebelum pengambilannya. Justeru itu, kaedah pengambilan makanan secara seimbang adalah tetap terbaik.

 

hqdefault (1)

“Jadi doktor, saya boleh makan apa sahaja lah?” “Ini kan Hari Raya?”

Tidak salah menjamu selera di hari raya. Tetapi kita perlu rancang pemakanan kita:

  • Ambil kuantiti yang sedikit jika ingin merasa pelbagai jenis hidangan. Tidak dinafikan, terdapat pelbagai jenis hidangan di atas meja yang perlu dirasai, bukan untuk ditonton. Namun, jangan makan sesuatu jenis makanan sahaja terlalu banyak. Kita hanya perlu menjamah sedikit untuk merasa makanan yang berikutnya.
  • Elakkan aktiviti memenuhi pinggan. Ketika berada di rumah terbuka, pasti ada yang menyediakan hidangan secara ‘buffet’. Namun, itu tidak bermakan kita wajib memenuhkan pinggan kita dengan gelojoh ketika pusingan pertama sebelum duduk di meja makan. Tidak perlu risau jika makanan tersebut akan habis, kerana ianya seringkali lebih dari cukup. Kita seharusnya mengambil kuantiti yang sedikit, bukan sahaja untuk mengelakkan pembaziran dek kerana tidak larat menghabiskan makanan, tetapi juga untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan racun tersembunyi,
  • Sebelum keluar dari rumah untuk beraya di rumah jiran, adalah lebih baik jika kita mengisi dahulu perut dengan air mahupun sedikit makanan yang seimbang di rumah. Ini kerana, perut yang sudah terisi akan mengurangkan kebarangkalian untuk mengambil makanan secara berlebihan, berbanding dengan keluar menziarahi jiran tetangga dengan perut yang kosong.
  • Ketika beraya dan menjamu selera, utamakan memilih makanan yang berkuah atau mengandungi sup. Lebih baik jika kita melebihkan makanan yang turut mengandungi sayur, seperti mee hoon sup, mee soto atau soto ayam yang turut disediakan di rumah-rumah terbuka.
  • Sate adalah antara masakan yang banyak dihidangkan ketika Aidilfitri. Ianya selain sedap dimakan turut menyihatkan kerana dimasak secara panggang. Masakan panggang dapat mengurangkan kandungan lemak dan kalori berbanding dimasak secara menggoreng atau bersama rendang.
  • Elakkan makan organ dalaman. Biarpun sate lebih menyihatkan, namun elakkan makan secara berlebihan sate yang terdiri dari organ dalaman haiwan seperti sate hati, sate perut mahupun sate usus.
  • Sekiranya anda gemar makan rendang, pilihlah rendang ayam berbanding rendang daging. Pilihlah bahagian ayam yang kurang lemak. Elakkan mengambil bahagian yang banyak kulit seperti bahagian kepak. Lebih baik jika tuan rumah mengamalkan tabiat membuang kulit ayam sebelum memasak. Tuan rumah juga digalakkan mengunakan susu untuk menggantikan santan dalam rendang.
  • Berhati-hati dengan pencuci mulut, kerana kebanyakkan pencuci mulut adalah terdiri daripada manisan. Lebih bijak jika kita memilih buah-buahan segar sebagai pencuci mulut berbanding buahan kordial yang sudah ditambah pengawet dan gula.
  • Oleh kerana banyak masakan manis dan masin di musim perayaan, maka kita juga hendaklah memperbanyakkan meminum air masak. Elakkan darpida mengabungkan pengambilan air manis dan masakan manis bersama-sama. Cegah daripada mengambil air berkarbonat sebagai penghilang dahaga. Justeru, tuan rumah haruslah menyediakan air suam atau air masak sebagai pilihan di hari raya. Lebih menarik jika menyediakan jus buah-buahan segar yang pasti digemari oleh semua termasuk kanak-kanak.

 

makananraya2

Kesimpulannya, tujuan utama amalan ziarah-menziarahi bukanlah untuk menyambut “Pesta perut” semata-mata tetapi lebih kepada merapatkan hubungan silaturrrahim.

Pastikan pengambilan pemakanan yang seimbang terdiri daripada kumpulan protein, karbohidrat, serat dan vitamin diamalkan biarpun ketika perayaan. Amalkan kesederhanaan dengan mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.

Ini penting sebagai langkah pencegahan dari penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kegagagalan buah pinggang akibat racun yang tersembunyi. Semua langkah ini adalah wajar dan mampu dilakukan. Tepuk dada, tanya selera. Selamat Hari Raya!

 

Rujukan:

The post Jangan Makan “Racun” Ketika Aidilfitri appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.

No comments:
Write comments