Cuba anda lihat pada pergelangan tangan anda sekarang. Adakah terdapat sebarang benjolan keras seperti guli? Ia biasanya lebih jelas kelihatan apabila anda bengkokkan pergelangan tangan anda.
Benjolan seperti guli ini mungkin adalah Ganglion. Ia adalah ketumbuhan tisu yang paling kerap terjadi pada sendi ini. 70 peratus daripada ganglion terjadi pada bahagian belakang (dorsum) pergelangan tangan iaitu ia muncul dari sendiscapholunate manakala bakinya pada bahagian permukaan depan (volar) dari sendi radiocarpal dan scaphotrapezial.
Adakalanya ia terlalu kecil sehinggakan cuma boleh dilihat apabila pesakit membengkokkan pergelangan tangan.
Kandungan benjolan ini adalah campuran cecair sendi iaitu glucosamine, albumin, globulin dan Hyaluronic acid.
Simptom Pesakit
Kesan tekanan atau pressure effect akan mengakibatkan sebahagian pesakit akan mengadu ketidakselesaan akibat kehadiran ganglion ini apabila mereka hendak melakukan aktiviti menggunakan tangan.
Kadangkala ganglion ini boleh menekan saraf yang berhampiran menyebabkan rasa kebas.
Walaubagaimanapun, ia adalah tidak membahaya dan tiada risiko untuk berubah menjadi kanser.
Kenapa Ia Terjadi?
Ganglion terbentuk akibat kelemahan pada lapisan tisu yang melapisi sendi sehingga cecair synovial menolaknya keluar dan membentuk benjolan ini. Ia boleh terjadi pada mana-mana sendi namun lebih kerap terjadi pada pergelangan tangan.
Terdapat 2 teori iaitu Teori Trauma dan Teori Keradangan (inflammation) yang cuba menjelaskan kenapa kelemahan tisu ini berlaku namun jawapan sebenarnya masih kekal misteri.
Dapatkan Pemeriksaan Segera
Secara peribadi, saya berpendapat anda perlu segera berjumpa doktor sekiranya terdapat sebarang benjolan atau kebengkakkan pada mana-mana anggota badan anda. Kita perlu pastikan bahawa ianya adalah sesuatu yang tidak bahaya.
Selain daripada Ganglion, kebengkakan atau benjolan boleh disebabkan oleh ketumbuhan lain seperti Lipoma (ketumbuhan sel lemak), Sebaceous cyst (benjolan kelenjar peluh) ataupun Abscess (nanah).
Siasatan
Diagnosis Ganglion ini dibuat berdasarkan pemeriksaan klinikal. Secara umumnya anda tidak perlu menjalani imbasan X-ray. Sekiranya pembedahan diperlukan, darah mungkin perlu diambil sebelum anda dilihat oleh doktor bius.
Rawatan
- Tanpa Pembedahan – Ganglion yang tidak menimbulkan sebarang masalah boleh dibiarkan sahaja tanpa menjalani apa-apa prosedur atau pembedahan.
- Disedut keluar (Aspiration) – Risiko bagi ganglion tersebut kembali terjadi adalah tinggi iaitu 50 peratus.
- Pembedahan – Pembedahan dilakukan sekiranya ia menimbulkan masalah seperti sakit, kebas atau pesakit meminta ia dibuang atas sebab kosmetik dan sebagainya. Kebarangkalian ia kembali terjadi adalah lebih rendah iaitu 15-20 peratus. Selepas anda dibius, ganglion ini akan dibuang melalui satu torehan pada kulit. Prosedur ini boleh dijalankan secara Daycare (boleh balik pada hari yang sama selepas pembedahan) bergantung kepada kriteria-kriteria tertentu.
Pemeriksaan Oleh Doktor
Sekiranya anda mempunyai masalah ini, segeralah berjumpa doktor bagi memastikan masalah yang sebenarnya. Adakalanya kedudukan benjolan adalah begitu hampir dengan saraf dan salur darah dan perancangan teliti perlu dilakukan sebelum pembedahan dilakukan. Doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas anda dan berbicang rawatan yang terbaik bersama-sama anda.
Rujukan
- Review of Orthopaedics, 5th Mark D. Miller, page 84
- Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009, P302
The post Ganglion: Guli-guli Pada Sendi appeared first on LelakiSihat.Com - Tips & Info Kesihatan Lelaki.
No comments:
Write comments