Lek Lu

Saturday, 3 September 2016

Komen Tengku Amir Shah Raja Muda Selangor Atas Pernikahan Ayahandanya Sultan Selangor Dengan Pembaca Berita TV1 RTM


Selepas negara dikejutkan dengan pernikahan Bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo, rakyat negeri Selangor sekali lagi menerima satu berita yang menggembirakan apabila  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijab kabul dengan pembaca berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Norashikin Abdul Rahman di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang, pada 31 Ogos lalu.  

Pengumuman rasmi tersebut  turut menggembirakan kepada anakanda baginda, Tengku Amir Shah. 

Raja Muda Selangor telah menzahirkan ucapan tahniah kepada ayahandanya dalam laman instagramnya sebentar tadi.

 “Anakanda berasa kagum dengan lelaki ini yang dipanggil Ayahanda. Anakanda akan sentiasa menyokong dan berdiri di belakangmu sebagai pahlawanmu. 

 “Patik sentiasa bangga menjadi anakandamu. Alhamdulillah dan tahniah Ayahanda. Patik sangat-sangat gembira,” demikian tulis Raja Muda dalam entrinya, yang setakat ini disukai lebih 2,000 pengguna Instagram. 

Pengumuman rasmi dibuat oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani memaklumkan Sultan Sharafuddin dan Norashikin, 45, dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam majlis pernikahan yang sederhana dan ringkas atas titah baginda. 

Majlis pernikahan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor Dr Anhar Opir; Al Fadil Imam Paduka Mohd Rasid Mahful; Bekas Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar; Ahli Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan bapa serta anggota keluarga pengantin perempuan. 

Menurut Raja Muda lagi, baginda sangat mengagumi Sultan Selangor, baik sebagai Ayahanda, mahupun sebagai Sultan, yang disifatkannya sebagai seorang Sultan yang bijaksana dan disayangi rakyat. 

 “Hubungan kami adalah seperti bapa dan anak-anak lain. Baginda memberikan patik kehidupan, berkorban demi patik, membesarkan patik menjadi seorang lelaki, membimbing patik apabila patik jatuh dan baginda menjadi contoh terbaik kepada patik tentang bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat. 

 “Baginda seorang lelaki yang berhati cekal, pejuang yang berani, Sultan yang penuh bijaksana dan disanjung oleh rakyatnya,” kata Raja Muda. Memetik laporan Bernama, Sultan Selangor sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal pada 1968 tetapi bercerai pada 1986. 

 Baginda kemudian berkahwin dengan Puan Nur Lisa Abdullah (rakyat Amerika) tetapi berpisah pada 1997. Ini adalah pernikahan ketiga Sultan Selangor. 

 Kami menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Norashikin Abdul Rahman di atas pernikahan baginda. 



No comments:
Write comments