Tuesday, 21 June 2016
Kes kecurian 17 barangan kosmetik yang di viralkan di media sosial baru-baru ini , akhirnya di akhiri dengan tangisan , apabila LIMA BERANAK DIHUKUM PENJARA 3 TAHUN !
Kota Tinggi: Lima beranak masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mencuri 17 barangan kosmetik bernilai RM2,171.50 di kedai produk kesihatan dan kecantikan di Bandar Tenggara di sini, Jumaat lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap kelima-lima tertuduh yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadap mereka.
Rohaya A Rahman, 57, didakwa bersama-sama tiga anaknya, Maimunah Che Abdullah, 26; Noriza Che Abdullah, 30; dan Nurul Fatihah Abdullah, 19; serta seorang menantu, Zariah Zakariya, 37.
Mereka didakwa mencuri semua barangan kosmetik itu di Kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung di Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara di sini, jam 11.40 pagi, Jumaat lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shefiuddin manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Nik Raihan Nik Jaafar.
Sebaik hukuman dijatuhkan, lima beranak terbabit termasuk seorang yang sedang hamil enam bulan, serentak merayu kepada mahkamah sambil menangis dan berkata: “Tolonglah Cik.”
Sementara itu, perkarangan mahkamah dipenuhi ahli keluarga dan saudara-mara termasuk anak kepada semua tertuduh yang menangis sambil memanggil ibu masing-masing sebaik melihat tertuduh dibawa ke lokap mahkamah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write comments