Lek Lu

Monday 6 June 2016

"KALAU NAK BELI MAINAN, KENA KUMPUL DUIT SENDIRI..."



Memandangkan anak-anak sudah berusia 5 dan 6 tahun, barulah boleh beri latihan mengenai kewangan, tabiat menyimpan dan ilmu hisab.

Cabaran ini bermula sejak awal bulan Mac. Mereka nak membeli set Lego Ninjago. Secara spontan saya berkata, "Kali ini daddy tak nak belikan. Abang dan Aaqil kena beli sendiri."

Masing-masing terkesima. Kalau tak, bajet sure approve punya kalau nak beli Lego. Maklumlah, bila cikgu tanya, ayah kerja apa, mereka boleh jawab "Daddy saya buat duit!" Erk?!

1. Saya suruh mereka bertanya pada abang yang bekerja di kedai Lego itu, berapa harga set itu. Mula-mula mereka takut dan tak mahu pergi. Tetapi saya kata, tak ada orang nak marah pun kalau mereka bertanya.

Lalu mereka berdua memberanikan diri bertanya dan saya hanya memerhatikan sahaja dari jauh.

2. Setelah berpuas hati dengan penerangan abang itu, mereka terus menerpa saya.

"Nak beli, kena ada RM40," kata mereka berdua.

"Okay, mulai saat ini, abang dan Aaqil kena kumpul duit. Buat satu tabung lagi, tabung untuk beli mainan," kata saya.

Mereka mengangguk dan keluar dari kedai.

3. Sampai di rumah, saya beritahu, jika mereka berkelakuan baik dan jadi anak soleh, saya berikan seringgit sehari. Tugasan yang mudah, senang kejut pagi, makan sarapan sehingga habis, buat kerja rumah, tidur di bilik masing-masing, kemas mainan dan tolong mummy.

Pada mulanya mereka buat semata-mata seringgit. Tetapi bila lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan sehingga terlupa nak meminta seringgit sebelum tidur.

4. Mereka sentiasa mengira duit dalam tabung mainan mereka. Saya ajar mereka bagaimana untuk menyusun dan mengira duit.

5. Tahan kehendak lain. Maklumlah perangai budak, semua mainan mereka nak. Saya akan cuba tetapkan semula matlamat mereka kembali. Jadi, mereka dah dapat bertahan hampir tiga bulan daripada membeli mainan lain.

6. Minggu lalu, duit tabung mereka sudah mencukupi. Bukan main suka lagi mereka, dah tak sabar-sabar nak pergi ke kedai Lego.

Semalam, di awal pagi lagi mereka sudah keluarkan duit tabung masing-masing dan berikan kepada saya. Setelah selesai beberapa urusan, sempat singgah sebentar di kedai Lego untuk melunaskan janji.

Pembelian mainan kali ini amat mudah kerana mereka sudah ada matlamat. Masuk kedai terus ambil set Lego idaman. Saya berikan duit dan suruh mereka membuat pembayaran sendiri, dua beradik. Kali ini langsung tak gugup, adalah sikit keberanian. Sukanya mereka bukan main, nampak kepuasan di wajah mereka.

Dalam perjalanan balik si abang berkata,

"Selepas ini, nak kumpul duit lagi. Nak beli kereta control pula," katanya.

Dalam hati saya, Alhamdulillah, jimat duit saya. - Najib Mohamed

No comments:
Write comments